Monday, September 28, 2009

PPSMI, yang terhantuk dan terngadah

Oleh Zukri Aksah
KUANTAN, Julai 10 — Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dari mula diperkenalkan sudah diakui sebagai satu dasar yang salah, hanya berasaskan satu sebab yang sangat penting.

PPSMI telah menafikan hak Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dalam sistem pendidikan nasional negara kita.

PPSMI akan dimansuhkan, secara berperingkat-peringkat, pemansuhan sepenuhnya adalah pada tahun 2012. Sedangkan dahulu, ia diperkenal dan dilaksanakan secara gopoh dan tergesa-gesa, hanya kerana mengikut kehendak seorang pemimpin.

Mengulas isu ini dan kenyataan Dr Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran, bahawa pembatalan PPSMI bakal menjimatkan RM40 juta wang kerajaan setahun, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang menyatakan, "inilah akibat jika dasar negara digubal melalui pembesar suara, dengar dan patuh sahaja!"

Fauzi turut melahirkan kerisauannya tentang pendekatan kerajaan Umno dan BN yang suka mewar-warkan sesuatu dasar tanpa terlebih dahulu menjalankan kajian terperinci tentangnya.

Akhirnya setelah didapati dasar tersebut memang bermasalah dan menyusahkan, ia dihentikan pada ketika negara sudah kerugian jutaan ringgit.

Pembaziran berlaku begitu sahaja semata-mata kerana ketidakcekapan pengurusan dasar dan ketakutan untuk membantah ego seorang pemimpin.

Fauzi, dalam hal ini, menganggap beban kesalahan dari masalah yang ditimbulkan oleh PPSMI ini juga wajib dipikul oleh kepimpinan Kerajaan Umno dan BN sekarang, walaupun dasar ini diperkenalkan ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada waktu dasar ini diperkenalkan, mereka bukan hanya mengia, bahkan memujinya melangit.

Ketika itu, mengikut Fauzi lagi, jangankan pemimpin pembangkang, jika ada pemimpin Umno dan BN sendiri di peringkat bawahan yang mempersoalkan dasar ini, mereka akan dikritik dan dikecam hebat. Walapun mereka tahu sama tahu yang dasar PPSMI ini adalah sesuatu yang salah.

Pesan Fauzi kepada pemimpin Umno dan BN, parti yang pernah menjadi medan perjuangannya dahulu, cukuplah bebudaya burung belatuk, cukuplah berbudaya asyik mengangguk.

"Sekali pemimpin pergi sekali terhantuk, datang pemimpin baru, kembali menjadi belatuk. Bila mahu terngadah, parti rupanya sudah punah-ranah," katanya

No comments:

Post a Comment